Katarak adalah sejenis penyakit mata yang menyebabkan mata berselaput dan menjadi rabun. Penglihatan menjadi kurang jelas atau rabun disebabkan kanta mata menjadi ‘keruh’ dan menyebabkan cahaya tidak dapat menembusinya. Bila kurang cahaya, maka benda-benda yang diperhatikan akan nampak samar-samar sahaja. Contohnya kalau tengok seseorang, cuma boleh nampak kelibatnya atau bentuk tubuhnya, tetapi tak boleh melihat dengan jelas rupa parasnya.
Penyakit katarak ini perlu diberikan perhatian serius, kerana jika tidak dirawat dan bilamana usia makin meningkat, ada kemungkinan besar akhirnya akan menjadi buta.
Tanda-tanda penyakit katarak mata
1. Penglihatan semakin lama semakin rabun, dan ketara dari sebulan ke sebulan. Apatah lagi dalam tempoh bandingan setahun yakni apabila usia telah meningkat lagi setahun.
2. Sukar membaca, walaupun dah pakai cermin mata yang biasa dipakai.
3. Kerap tukar cermin mata, kerana merasakan penglihatan masih tak cukup ‘clear’ walaupun baru bulan lepas tukar cermin mata yang baru.
4. Terdapat satu lapisan atau selaput putih pada anak mata.
5. Antara simptom yang lazim ialah mudah merasa silau terhadap cahaya terang.
Punca-punca dan faktor risiko mengalami katarak
1. Pesakit kencing manis atau diabetes, lebih-lebih lagi bagi yang dah puluhan tahun mendapat kencing manis dan kurang mengawal pengambilan gula demi mengurangkan implikasi diabetes yang dialami. Ini disebabkan paras gula yang berlebihan dalam darah boleh menyebabkan terjadinya pembentukan lapisan pada mata yang menyebabkan katarak.
2. Katarak biasanya dikatakan penyakit orang veteran, ekoran proses peningkatan usia. Kebanyakan mereka yang mengalami katarak adalah dari golongan yang berusia 60 tahun ke atas.
3. Katarak juga boleh berlaku sekiranya ibu menghidapi infeksi seperti penyakit Rubella ketika mengandung. Implikasinya bukan kepada ibu tetapi kepada bayi yang bakal dilahirkan.
Rawatan Katarak
Jadi sekiranya ada tanda-tanda katarak, segeralah jumpa doktor mata untuk pemeriksaan bagi mengelakkan katarak tu semakin menebal dan akhirnya langsung tak boleh melihat. Amalan menjauhkan diri dari asap dan habuk serta terlalu terdedah kepada cuaca panas juga dikatakan sangat membantu dalam mencegah terjadinya katarak.
Jika dah sampai ke satu peringkat, doktor kemungkinan akan mengesyorkan pembedahan membuang selaput sebagai rawatan untuk memulihkan penglihatan. Pembedahan sedemikian biasanya mengambil masa antara 30 ke 40 minit sahaja.
Sewaktu pembedahan, kanta mata yang asal yang dah kabur akan dibuang dan digantikan dengan kanta tiruan untuk memulihkan penglihatan.
Dalam kebanyakan kes, dilaporkan bahawa penglihatan pesakit pulih sepenuhnya selepas 3 bulan menjalani pembedahan. Namun dalam tempoh tersebut perlu menjalani rawatan susulan rapi, mengambil ubat-ubatan dan memakai cermin mata gelap kerana mata sangat sensitif terhadap sinaran matahari.
Leave a Reply