Semasa korang pilih warna cat rumah, adakah korang terfikir apa ‘simbolik’ di sebalik warna tersebut? Kebanyakan orang kemungkinan takde ambil kisah pun apa maknanya… asalkan warna tu adalah warna yang berkenan di hati.
Sebenarnya warna yang dipilih, samada kita sedar atau tidak, mempunyai maksud tertentu. Pemilihan warna cat pada dinding rumah juga turut mempengaruhi emosi, suasana dan memberi kesan ruangan yang berbeza pada pandangan mata. Meh kita lihat apa rahsia di sebalik warna cat yang kita gunakan…
Rahsia Warna Cat
Merah
Warna merah mampu membangkitkan tenaga di sekitarnya. Ia memberikan kehangatan dan menonjolkan semangat keberanian. Selain itu ia juga dikatakan mampu menimbulkan kesan optimis, sensasi dan kemewahan di samping meningkatkan adrenalin dan keinginan meluap-luap untuk mencapai sesuatu yang dihajati. Akan tetapi awas kerana warna merah juga dikatakan mampu merangsang kemarahan dan membangkitkan sifat agresif dalam diri seseorang.
Kuning
Warna ini membantu membangkitkan tenaga dan ‘mood’. Kuning ialah warna yang melambangkan semangat dan mendorong ekspresi diri. Selain itu ia turut membantu meningkatkan inspirasi dan merangsang kemampuan intelektual.
Biru
Warna ini sering dikaitkan dengan elemen air dan udara. Sejuk mata memandang… tapi janganlah biru yang terlalu pekat. Ia melambangkan keharmonian dan memberi kesan lapang dan menenangkan. Warna biru akan membangkitkan suasana tenteram, mendamaikan dan mampu merangsang kemampuan meditasi.
Putih
Warna yang suci dan bersih mencerminkan kemurnian, ketenteraman, perlindungan dan ketenangan. Ia memudahkan refleksi dalam apa jua perkara yang dilakukan.
Hitam
Hitam ialah warna elegen, kemegahan, misteri dan maskulin. Ia mempunyai pengaruh yang kuat dan penuh rasa keyakinan diri selain memberi kesan perlindungan kepada penghuninya. Tapi ada juga pendapat yang mengatakan warna ini lebih melambangkan kesan duka dan kesepian. Mereka yang mewarnakan dinding bilik dengan warna hitam lazimnya seorang yang penuh misteri dan suka bersendiri.
Kelabu
Warna campuran putih dan hitam. Warna kelabu dikatakan mampu menimbulkan semangat untuk berdikari dan menciptaka kesan ruang yang lebih luas. Maknanya kalau cat warnan kelabu, bilik atau ruang yang kecil akan kelihatan lebih besar pada pandangan mata kasar. Selain itu ia juga mampu menimbulkan kesan kedamaian dan ketenteraman.
Hijau
Warna yang selalunya dikaitkan dengan keindahan dan kesegaran alam. Ia bertindak membangkitkan unsur tenaga dan ketenangan. Hijau juga boleh membantu menstabilkan emosi dan mempunyai kesan penyembuhan selain meredakan tekanan.
Oren
Melambangkan harapan dan rasa percaya diri. Membangkitkan semangat dan kreativiti serta menimbulkan rasa positif, gembira dan sentiasa bersemangat dalam perkara yang dilakukan. Warna oren juga dikatakan boleh membantu mengurangkan ‘stress’.
Coklat
Warna ini bersifat ‘natural’ dan mencerminkan keseimbangan dan kestabilan. Oleh itu ia memberi rasa ketenangan, nyaman, anggun dan elegan. Ia juga membantu meningkatkan komitmen dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara.
Ungu
Warna ungu ialah warna spiritual dan misteri. Ia mampu menarik perhatian dan memberi kesan sensasi, feminin, anggun dan kehangatan. Warna ungu yang lebih gelap boleh memancarkan kekuatan dan menambahkan elemen fantasi, imaginasi dan kreativiti.
Pink
Warna yang simbolik kepada kehangatan dan emosi dan pada masa yang sama mempamerkan kelembutan dan memberikan ketenangan. Pink atau merah jambu ialah warna kasih sayang. Ia turut memberikan kesan keanak-anakan dan keceriaan.
nur fatin amirah says
boleh tahan
oppa says
meme hebat^^
masrizan says
wow…
nur azlina says
sekarang saya dah tahu apa erti warna kegemaran saya