Soal Jawab Kesihatan
Soalan:
Saya berusia 20 tahun dan masih belum berkahwin. Masalah saya ialah setiap kali datang bulan (haid) terasa amat sakit, lebih-lebih lagi bila ‘period’ tu tiba lepas saya terlalu kuat bekerja. Kedatangan haid pula tidak tetap, adakalanya lebih awal dua atau tiga hari dari waktu yang dianggarkan, dan ada masanya pula terlambat dua tiga hari. Tempoh haid pula biasanya dalam 2 ke 4 hari.
Perlukah saya makan ubat untuk mengurangkan rasa sakit ketika haid? Jika perlu, ubat apakah yang sesuai? Atau ada tak apa-apa makanan yang perlu saya berpantang?
Jawapan:
Keterangan yang diberikan oleh anda itu adalah gejala atau simptom yang biasa bila kedatangan haid. Ada sesetengah orang akan merasai kesakitan yang teruk ketika haid, dan sesetengah yang lain pula tidak mengalami sebarang rasa sakit yang teruk.
Lazimnya juga kedatangan haid terutama selepas terlalu kuat bekerja, berdiri untuk tempoh yang lama, selalu tidur lewat, mengalami sembelit, dalam keadaan ‘stess’ dan lain-lain akan menyebabkan seseorang rasa sakit yang lebih ketika haid. Anda tidak perlu khuatir kerana keadaan ini tidak mendatangkan apa-apa bahaya. Ada kalanya keadaan sakit seperti itu akan hilang dengan sendirinya walaupun kadang-kadang tetap juga terasa sakit pada waktu-waktu kedatangan haid.
Untuk mengurangkan rasa sakit, sebaik-baiknya kurangkanlah daripada melakukan sebarang kerja berat dua tiga hari sebelum haid dijangka tiba. Cuba dapatkan rehat dengan secukupnya.
Pada waktu malam ketibaan haid itu, seeloknya mandi dengan air panas. Bila hendak tidur, cuba balut dengan kain barut panas pada perut dan kawasan peha.
Waktu makan perlu lebih teratur dan tidur perlu cukup. Banyakkan mengambil makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin. Elakkan makanan yang pedas atau yang banyak mengandungi rempah, minyak dan lemak. Sebaiknya juga jangan minum kopi dan teh ketika tempoh haid. Pakaian pula jangan terlalu ketat dan kalau boleh pastikan buang air besar sekali atau dua kali sehari. Pengambilan ubat-ubatan tidak perlu dalam hal ini.
rabiatuladawiyah says
Salam saya berumur 22 tahun, kenapa semasa haid x boleh minum air kopi @teh? Adakah tidur boleh mengurangkn kesakitan? Biasenye sy sengugut x teratur ade kalanye awl Ada kalanye lmbt drpd jdualnye .